Shafiqolbu telah ditanya soalan ini dalam huraiannya mengenai kesempurnaan wuduk. Dalam situasi masyarakat yang sangat kekurangan ilmu ini sering terjadi berwuduk yang tidak sempurna yang kesannya wuduk tersebut tidak sah yang menyebabkan ibadat kita seperti solat dan sebagainya (yang wajib dalam keadaan berwuduk) tidak sah juga selain dari melambangkan ketidak-sungguhan dan ketidak-ikhlasan sesorang itu beribadat.
Jawapan Shafiqolbu bagi permasalahan di atas seperti berikut:
Hukum asal bagi sesuatu yang keluar dari manusia adalah tidak najis melainkan jika terdapat dalil yang menunjukkan sebaliknya berdasarkan hadis Nabi SAW:
إن المؤمن لا ينجس
“Sesungguhnya seseorang mukmin itu tidak najis.” (Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya).
Adapun seperti tahi manusia, air kencing dan darah yang tumpah, ia adalah najis jelas berdasarkan beberapa dalil yang menunjukkannya.
Tidak semestinya setiap yang kita panggil “tahi” itu najis seperti “tahi hidung”, “tahi telinga” dan “tahi lalat” kerana itu tahi mata bukanlah najis dan sah wudhuk kita sekiranya ia keluar.
Oleh yang demikian sesuatu yang keluar dari tubuh manusia yang tiada dalil menunjukkan kenajisannya seperti tahi mata, tahi hidung, hingus, air liur, kahak, peluh dan seumpamanya adalah dikira tidak najis, kerana inilah hukum asalnya.
Dalam kitab al-Raudh al-Murbi’ dari mazhab Hambali ada dinyatakan:
ومني الآدمي طاهر، ورطوبة فرج المرأة كالعرق والمخاط والبلغم -ولو أزرق- وما سال من الفم وقت النوم
“Dan air mani manusia adalah suci, demikian juga lembapan faraj wanita, sama juga seperti peluh, hingus dan kahak –sekalipun menjadi biru – dan apa yang mengalir dari mulut (air liur basi) ketika tidur (semuanya adalah tidak najis).”
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab