Sunday, 16 February 2014

Atai Kembali Ke Dunia Seni

Atai kembali ke pangkuan seni dengan mengingati Sudirman.  Berita gembira ini disampaikan penulis lirik terkenal, Habsah Hassan melalui kiriman Whatapp, bersama undangan menghadiri majlis pelancaran single terbaru Atai semperna memperingati Allahyarham Datuk Sudirman pada 21 Februari ini.i


Atai dengan Allahyarham Sudirman memang punya hubungan rapat bukan sahaja antara bapa saudara dengan anak saudara, malah sahabat dan teman paling akrab.  Wajah mereka juga seiras, malah kemunculan album Atai, Sahabat pada tahun 1985 seolah-olah klon Sudirman.


Bagaimanapun, apabila Sudirman menghembuskan nafas terakhir pada 22 Februari 1992 ketika berusia 37 tahun di rumah kakaknya Datin Rudiah selepas tujuh bulan mengidap pneumonia, Atai juga seolah-olah pergi.


Setiap kali ulang tahun memperingati pemergian Sudirman, nama Atai pasti muncul.  Ada yang bertanya kenapa Atai tidak meneruskan legasi bapa saudarnya, Atai memberi alasan tidak mampu menyanyi kerana akan membuatkan dirinya sedih teringatkan bapa saudaranya.


Bagaimanapun, selepas 22 tahun pemergian Sudirman baru kini Atai atau nama sebenarnya Razman Azrai Zainuddin berani menyertai semula dunia seni.


Atai memilih lagu Kul It yang dirakamkan Sudirman pada tahun 1986 untuk dinyanyikan semula dalam bentuk single.  Habsah atau Kak Chah yang rapat dengan Sudirman dan banyak menghasilkan lirik untuk Penghibur Nombor 1 Asia itu seperti Salam Terakhir dan Merisik Khabar mengatakan, suara Atai sama seperti Sudirman hingga dirinya keliru.


Majlis pelancarannya akan berlangsung di restoran Puteri, Sungai Penchala milik Kak Chah.  Sama-sama kita nantikan kemunculan Atai daalam industri seni.  Apakah 2014 menjadi detik baru buat Atai untuk bergelar penyanyi terkenal seperti bapa saudaranya?