KUALA LUMPUR, 11 MacBekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegur penggunaan aktiviti perbomohan untuk mencari pesawat MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing Sabtu lalu.
Sambil menyifatkan langkah itu sebagai ‘satu kerja bodoh’, Asri berkata, langkah ‘khurafat dan tahyul’ itu tidak boleh diterima sama sekali kerana tidak dapat diterima akal waras.
“Ini tahyul, khurafat, kerja bodoh dan tidak waras. Agama tidak dapat terima (langkah ini). Dengan berbuat begitu, bomoh memberi gambaran salah kepada ajaran Islam.
“Dia seolah-olah mengambil kesempatan. Siapa yang membawa dia untuk tujuan itu,amat malang dan memalukan,” kata Dr. Mohd Asri yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM).
Dilaporkan semalam, kehilangan MH370 mendapat perhatian ‘Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP’, Ibrahim Mat Zin yang mendakwa dijemput seorang pegawai tertinggi negara ke KLIA bagi menggunakan ilmu tradisional dan solat hajat.
Ibrahim berkata, beliau menggunakan bubu mata pancing dan teropong yang diperbuat daripada buluh untuk meminta dan berdoa supaya melepaskan mangsa agar dapat dijumpai secepat mungkin.
Berpengalaman selama 50 tahun, Ibrahim menjadi popular melalui perkhidmatan kejadian keruntuhan Highland Tower, pencarian mayat semasa banjir Kuala Dipang, Kampar Perak dan kes pembunuhan seorang ahli politik oleh Mona Fendy.
Dr. Asri menegaskan, menurut ajaran Islam, tiada sesiapa yang mengetahui perkara ghaib kerana perkara itu di luar pengetahuan manusia.
“Tiada siapa boleh mengetahui tentang perkara ghaib selain Tuhan. Kalau boleh, sudah tentu Nabi Muhammad menjampi semua penentangnya supaya terima Islam.
“Kuasa-kuasa ghaib ini kalau berlaku menggunakan perantara syaitan. Mungkin (hasilnya) jadi, tapi tidak diredhai,” katanya.