Friday, 28 March 2014

MH370: Jangan bersangka buruk pada ALLAH SWT!

"SOLAT jenazah ghaib memang tidak perlu dilakukan buat masa ini!," tegas Imam Muda Hassan, berhubung tragedi pesawat MAS MH370 yang melibatkan mangsa beragama Islam setelah disahkan 'berakhir' di Lautan Hindi.

imam muda hassan

Tambah Juara Imam Muda musim kedua itu lagi, keputusan itu diambil berikutan pihak yang melakukan operasi mencari dan menyelamat belum lagi menjumpai mayat dan cebisan nahas pesawat itu.

Jelasnya, dalam mengupas isu ini, beliau turut bersependapat dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Kelmarin, Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan penumpang dan anak kapal MH370 kini dikategorikan mafqud (anggapan orang hilang) sehingga usaha mencari dimuktamadkan.

"Kita masih tidak tahu, adakah ia benar-benar terjadi atau tidak? Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan ia berakhir, tetapi kita sendiri masih belum dapat memastikannya.

"Bahkan, tiada bukti sahih yang dapat memperjelaskannya seperti serpihan pesawat," katanya lagi.

Malah, kini pihak kerajaan juga masih berusaha untuk mencari kotak hitam, mayat mangsa sekiranya ada dan pelbagai perkara yang berkaitan.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh masyarakat di negara ini agar sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT supaya dipermudahkan untuk mencari kotak hitam.

"Hanya dengan penemuan kotak hitam saja yang boleh mengungkai segala persoalan yang berlaku terhadap pesawat itu," jelasnya.

Begitu pun, kata Hassan, amalan lain seperti berdoa dan solat hajat hendaklah diteruskan agar pasukan menyelamat berjaya menjumpai bangkai pesawat,


Terima 'qada dan qadar'

Susulan pengumuman pesawat malang itu telah berakhir di selatan Lautan Hindi, ia sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi daripada seluruh masyarakat di dunia terutamanya keluarga dan waris mangsa.

Rata-ratanya sukar menerima berita sedih itu dan percaya selagi tiada bukti kukuh ditemui seperti serpihan pesawat, anggota keluarga pesawat malang itu masih menaruh harapan agar orang yang mereka sayangi selamat.

Bagaimanapun, jelas Hassan, mereka harus reda dan menerima kesudahan pencarian  selama 17 hari, sejak pesawat itu dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu sebagai ketentuan Ilahi.

"Saya tahu semua orang masih dalam keadaan bersedih, namun kita harus reda dalam menerima qada dan qadar ALLAH SWT.

"Sebagai seorang Islam, apa-apa pun yang berlaku harus diterima dengan berlapang dada dan banyak bersabar.

"Jangan bersangka buruk pada ALLAH SWT kerana hanya kita diuji dengan ujian yang sebegini," katanya.

Dalam pada itu, Hassan juga sempat menasihati masyarakat di luar sana agar tidak membuat sebarang spekulasi tentang misteri kehilangan pesawat MH370 selagi kotak hitam pesawat berkenaan tidak dijumpai.

"Jangan mudah terpengaruh dengan cerita-cerita palsu, ia boleh mengguris hati keluarga mangsa.

"Lagipun, kita tidak tahu akan kesahihannya. Jangan ambil kesempatan.

"Sama-samalah kita berdoa semoga ALLAH SWT memudahkan pencarian kotak hitam itu," akhirinya.