Tuesday, 11 March 2014

Misteri MH370 'tergantung' antara tiga negara, dakwa Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP.

Dah solat hajat, nak berbomoh pula!!

Bomoh_MH370_1Muncul di KLIA petang semalam yang mendakwa dirinya Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP, Ibrahim Mat Zin. Difahamkan dijemput seorang pegawai tertinggi negara, lapor Bernama.


Dilaporkan berpengalaman lebih 50 tahun. Dengan upacara yang dilakukan selama 30 minit, beliau mendapat alamat bahawa kesemua penumpang pesawat terbabit dipercayai masih berada dalam keadaan selamat di satu lokasi tertentu terletak antara Laut China Selatan, Filipina dan sebuah negara asing yang tidak dapat dipastikan.

"Saya nampak pesawat itu masih tergantung di ruang udara, di tengah -tengah ketiga-tiga lokasi terbabit.

"Saya tak dapat jelaskan secara terperinci soal keselamatan mereka tetapi percaya pesawat itu mungkin berada dalam dua keadaan sama ada diculik oleh pihak tertentu atau disembunyikan di alam ghaib", kata dipetik pemberita.

Upacara ritual dengan menggunakan peralatan khas iaitu teropong buluh serta bubu mata pancing sebagai simbolik untuk memperoleh alamat terkini berhubung keadaan pesawat terbabit.

Bomoh_MH370_2Bubu mata pancing terbabit sebagai simbolik penjara di mana pesawat itu dipercayai berada dalam cengkaman pihak tertentu atau ditawan di alam bunian, kata Ibrahim

"Kita gunakan teropong sebagai simbolik meminta anasir-anasir terbabit untuk membebaskan pesawat terbabit secepat mungkin.

"Upacara yang kita buat turut menggunakan ayat-ayat suci al-Quran iaitu surah Nabi Yunus dan surah Yassin,"katanya.

Melalui upacara tersebut juga, Ibrahim turut mempelawa beberapa individu daripada pelbagai bangsa termasuk seorang wakil media untuk membuat ritual pembebasan dengan meletakkan bubu mata pancing di atas kepala mereka.

Bomoh yang mendakwa pernah menampar buaya tembaga sehingga mati itu, selain upacara terbabit, seramai 100,000 ahli Persatuan Silat Gayung Ghaib dan Selendang Merah turut melakukan solat hajat serta berdoa semoga pesawat yang hilang ditemui dalam minggu ini.

Pihaknya sudah melakukan perkara yang sepatutnya dilakukan dan selebihnya terserah kepada Allah SWT, kata lagi.

Sebelum ini Ibrahim mendakwa pernah terlibat dalam membuat ramalan untuk kes antaranya berkaitan kes tragedi Highland Tower serta membatalkan ilmu hitam Mona Fendy agar hakim dapat menjalankan tugas di Mahkamah Temerloh, Pahang.