KAKI merupakan antara anggota badan yang penting kerana ia menampung keseluruhan berat badan kita. Justeru, kaki seharusnya dijaga dengan baik bukan sahaja daripada segi kekuatan tulang dan otot-otot malah kebersihannya juga perlu dijaga.
Walaupun terletak di bahagian badan yang paling bawah namun kaki tetap menjadi perhatian orang.
Jika memakai kasut yang bertutup mungkin dapat menyembunyikan keadaan kaki, namun jika memakai sandal atau kasut yang terbuka, rahsia kaki jelas terlihat.
Kaki yang cantik, bersih dengan kulit kaki yang tidak kering dan kuku dipotong kemas menandakan seseorang itu adalah seorang pembersih.
Melihat seseorang yang kulit kakinya kering atau lebih teruk bersisik, kuku panjang tidak dipotong kemas memberi tanggapan kepada orang yang melihat bahawa anda seorang yang tidak menitik beratkan kebersihan diri.
Selain menjaga sendiri kebersihan dan kesihatan kaki, sesekali dapatkan rawatan untuk kaki di spa.
Apa kata jika anda mencuba rawatan penjagaan kaki dan skrub yang disediakan di Spa De Sireh.
Harga yang dikenakan bagi rawatan ini amat berpatutan, iaitu RM25 bagi tempoh 20 hingga 30 minit (bergantung kepada keadaan kaki).
1 Kaki akan direndam terlebih dahulu di dalam air sirih bercampur garam laut selama lima minit bagi menghilangkan bau kaki, bakteria dan melancarkan peredaran darah.
2 Setelah itu, kaki akan digosok menggunakan hirisan limau nipis yang bertujuan sama, iaitu bagi menghilangkan bau dan memberikan kesegaran bau limau pada kaki.
3 Seterusnya skrub akan digosok pada keseluruhan kaki bagi menanggalkan sel kulit mati dan kulit kasar yang membuatkan kaki nampak hodoh.
4 Selepas itu, kaki akan digosok dengan batu sungai dan berus bagi menghalus dan melicinkan kulit.
5 Alat pengasah kulit kaki digunakan bagi mengasah kulit supaya kulit tampak lebih halus dan cantik. Bilas kaki, lap kering dan kaki diurut menggunakan losyen bagi melancarkan perjalanan darah pada kaki.
Rawatan ini disyorkan untuk pelanggan sebelum memulakan rawatan-rawatan lain yang disediakan.Utusan