STOCKHOLM - SWEDEN. Seramai 10 orang saksi dipanggil kelmarin bagi memberikan keterangan berhubung kes pendakwaan pasangan Shalwati Nurshal dan Azizul Raheem Awalludin yang masuk hari kesembilan perbicaraan.

Pihak pendakwaan yang diketuai Anna Arnell dilihat terus cuba mengaitkan pasangan tersebut dengan pelbagai insiden sentuhan fizikal yang didakwa dilakukan ke atas keempat-empat anak mereka.
Aplikasi penggunaan teknologi yang tinggi di Sweden turut menyaksikan seorang saksi dikemukakan hanya melalui rakaman perbualan telefon antara beliau dan Azizul diperdengarkan kepada Mahkamah.
Ini dikeluarkan oleh pihak pendakwaan yang cuba membuktikan percanggahan keterangan Azizul.
Azizul di dalam rakaman tersebut mengaku ada melakukan sentuhan fizikal bertujuan mendidik namun ianya bukan di Sweden.
Saksi-saksi yang dipanggil untuk memberikan keterangan terdiri daripada tenaga pengajar tempat anak mereka bersekolah, kaunselor, pegawai khidmat sosial, ibu dan bapa angkat serta rakan-rakan persekolahan anak-anak terbabit. Selain itu, pegawai pendakwa turut memanggil ibu kepada salah seorang rakan Ammar, Yiva Bengtsson yang memberikan keterangan berdasarkan penceritaan anaknya, selain merupakan antara pihak yang menasihati Ammar untuk membuat aduan kepada pihak kaunselor.
Antara yang mencuri tumpuan dalam perbicaraan kelmarin adalah kenyataan daripada kedua ibu bapa angkat kanak-kanak terbabit yang dilihat cuba mengaburi mata mahkamah dengan menceritakan memori indah mereka ketika bersama keempat-empat anak tersebut.
Pasangan suami isteri, Dejan Smiljanic dan Annelie Reuman Smiljanic yang dikatakan menerima bayaran ribuan Kronas setiap bulan sebagai bayaran penjagaan keempat-empat anak tersebut menceritakan bagaimana mereka hidup gembira pada awalnya dengan banyak melakukan aktiviti bersama.
Namun, keadaan itu berubah apabila anak-anak terbabit mula membuat peraturan sendiri seperti tidak mahu makan menggunakan pinggan yang biasa digunakan selain berubah menjadi tidak mesra dan tidak lagi gembira seperti awalnya.
Pasangan ini turut menyatakan Ammar sebagai anak yang paling banyak berkongsi cerita mendakwa dia dipukul manakala yang lain hanya menceritakan mengenai insiden tersebut sekiranya wujud pertanyaan.
Ketika ditanya mengenai perasaan adik-beradik itu untuk pulang ke Malaysia, Annelie menerangkan Aishah benar-benar mahu pulang ke negara asalnya kerana mempunyai hubungan yang rapat dengan ibu saudaranya manakala adik-adiknya yang lain tidak menunjukkan sebarang reaksi kecuali Ammar yang kelihatan keberatan untuk pulang ke Malaysia.
Sementara itu, kaunselor sekolah Ammar yang turut dipanggil memberikan keterangan menyatakan Ammar selalu berjumpa dengannya bagi membincangkan masalah pembelajaran yang dialaminya sehinggalah pada suatu hari Ammar secara terbuka menceritakan dia dipukul oleh ibunya sehingga tidak boleh menggerakkan tangan.
Walau bagaimanapun, kaunselor yang memeriksa tangan Ammar pada masa itu mendapati tiada sebarang kesan atau luka pada tangan remaja berusia 12 tahun itu.
Rakan karib Ammar, Felix Bengtsson turut dipanggil memberikan keterangan dengan banyak menceritakan semula insiden yang diceritakan Ammar kepadanya walaupun ada ketikanya perkara yang diceritakan oleh rakan seusianya ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes berkenaan.
Walau bagaimanapun, Felix sempat memberitahu Ammar supaya bersabar memandangkan tekanan yang wujud kadang kala boleh membantunya menjadi lebih baik.
Dalam pada itu, perbicaraan kelmarin berakhir dengan suasana sedih apabila buat pertama kalinya pasangan tersebut diberi peluang untuk berbual dan bertanya khabar bersama kenalan, sanak saudara dan wakil kerajaan Malaysia yang hadir mengikuti perbicaraan di mahkamah Daerah Solna.
Perbicaraan yang berakhir kira-kira jam 4.30 petang waktu tempatan itu menyaksikan Azizul dan Shalwati gembira menerima perkhabaran keadaan kesihatan anak-anak mereka yang semakin baik dan ceria menjalani kehidupan di Malaysia.
Pasangan ibu bapa itu juga sempat menitipkan pesan dan mengucapkan ‘Selamat Hari Lahir’ kepada anaknya Aishah yang menyambut hari kelahirannya yang ke-14 semalam.
Walaupun tiada sebarang sentuhan fizikal dibenarkan, peluang yang hadir secara spontan itu mengukir senyuman mereka yang hadir sebelum diikuti dengan linangan air mata perpisahan.
Mengulas mengenai perbicaraan yang berlangsung kelmarin, Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) menganggap terdapat beberapa kelemahan utama yang dapat disaksikan khususnya terhadap kredibiliti saksi-saksi yang ditampilkan oleh pihak pendakwaan.
Paling ketara adalah kedudukan ibu kepada rakan Ammar, Yiva Bengtsson yang memberikan keterangan tanpa pernah sekalipun berjumpa Ammar menjadikan keterangannya bersifat dengar cakap ‘hearsay’ yang boleh dianggap sebagai suatu keterangan lemah dan sepatutnya tidak diterima oleh mahkamah kecuali kehadiran keterangan kukuh lain yang menyokong.
Perbicaraan bersambung 12 Mac 2014/sinarharian.com.my