ALOR SETAR - Sekumpulan suri rumah berhimpun dengan membawa periuk belanga dan sudip sebagai simbolik membantah kenaikan harga barangan, yang berlaku sejak beberapa bulan lalu.
Himpunan yang dikenali sebagai ‘Demontrasi Suri Rumah’ itu diadakan sempena sambutan Hari Wanita bagi menyuarakan keresahan kaum hawa berkaitan kos sara hidup yang makin meninggi.
Ketua Penerangan Muslimat Pas Kedah, Sarina Ismail berkata, pihaknya memfokus isu berkenaan kerana kenaikan harga barangan memberi kesan secara langsung kepada suri rumah.
“Suri rumah juga menerima kesan daripada kenaikan harga barangan kerana mereka merancang ekonomi seharian keluarga. Kesannya bukan sahaja dirasai segelintir suri rumah malah keseluruhan wanita yang berpendapatan rendah,” katanya.
Demonstrasi yang diadakan di hadapan Kompleks Pas Kedah, di persisiran Jalan Alor Setar- Sungai Petani itu mendapat sokongan pengguna jalan raya apabila beberapa kenderaan turut membunyikan hon.
Pada himpunan itu, Naib Ketua, Fatimah Wan Teh, serta Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Jamaliah Omar turut menyampaikan ucapan ringkas memperjelas isu kenaikan harga barangan kepada hampir 200 suri rumah yang hadir.
“Ini antara usaha untuk bangkitkan perkara ini agar diberi perhatian, kami bukan sahaja mewakili Muslimat Pas malah wanita seluruh Kedah,” katanya.
Sarina berkata, suri rumah terlibat secara langsung menguruskan perbelanjaan keluarga dan apabila berlaku kenaikan harga barangan, mereka perlu mengurus secara bijak selain berjimat cermat.
“Walau pun hakikatnya, suami mencari rezeki tetapi perancangan ekonomi keluarga adalah tanggungjawab suri rumah. Kami amat terasa perbezaan berbelanja sekarang dengan dahulu terutamanya perbelanjaan dapur,” katanya.
Menurutnya, sikap pemimpin BN seolah tidak prihatin terhadap keluhan rakyat terutama golongan miskin, apabila bantahan yang diadakan tidak diberi perhatian.
“Apa nasib mereka yang mencari sesuap nasi dengan menoreh getah, sedangkan harga getah tidak setimpal dengan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung. Setiap kali bantahan atau desakan dibuat, respon yang diberikan tidak memadai,” katanya.
Sarina turut mempertikai tindakan pihak berkaitan yang turun padang membuat pemantauan harga yang disifatkan seperti wayang untuk mengaburi mata rakyat, kerana ia tidak menyelesaikan masalah.
“Kenapa perlu memantau harga barang, sedangkan punca kenaikan harga tidak diendahkan. Kerajaan wajar menurunkan harga minyak kerana dengan penurunan harga minyak secara automatik harga barangan keperluan akan turun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan jangan memandang remeh terhadap bantahan yang disuarakan kaum wanita kerana undi wanita juga mempengaruhi senario politik negara.
“Di Kedah, peratus pengundi wanita menjangkau 52 peratus mengatasi undi lelaki. Kerajaan jangan berasa selesa dengan adanya BR1M, yang didakwa dapat menyelesaikan masalah sedangkan pemberian wang itu hanya mampu menampung kos dalam tempoh singkat,” katanya.