
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, keputusan melupus pegangannya dalam sesebuah syarikat bukan bersandarkan kepada harga tawaran semata-mata tetapi turut diambil kira pulangan pelaburan dalam jangka panjang.
"Jika tawaran yang dibuat kepada PNB tidak kompetitif, buat apa kami terima.
"Sebagai pihak yang menerima tawaran, sudah tentu kami mahukan keuntungan. Itu penting bagi agihan kepada para pelabur.
"Kami juga mempunyai penilai yang mampu memberi nilai kepada portfolio pelaburan jangka panjang kami," katanya sambil memberitahu kenyataan itu adalah secara am tanpa merujuk mana-mana tawaran.
Baru-baru ini, PNB telah menolak tawaran Gamuda Berhad untuk mendapatkan 20 peratus pegangannya dalam Lebuh Raya Kesas meskipun tawaran telah ditingkatkan kepada RM280 juta berbanding RM250 juta sebelum itu.
Keputusan itu memang sudah dijangkakan oleh pasaran memandangkan Lebuh Raya Kesas mampu memberi pulangan baik kepada PNB, selain tawaran berkenaan juga tidak cukup menarik.
Selain itu, keputusan PNB itu turut mengambil kira minatnya untuk menguasai sepenuhnya lebuh raya berkenaan dan dipercayai PNB pernah berunding mengenai cadangan tersebut pada tahun 2009.
Bagaimanapun, cadangan tersebut gagal selepas Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor enggan melupuskan pegangannya sebanyak 20 peratus dalam lebuh raya itu.
Lebuh raya menjadi portfolio pelaburan baru PNB melalui Projek Lintasan Kota Sendirian Berhad (Prolintas) yang kini merupakan konsesi ketiga terbesar di Malaysia. - MalaysiaGazette